Judul : Ekspedisi temukan Tribes Spider, cicak Cyrtodactylus zebraicus
link : Ekspedisi temukan Tribes Spider, cicak Cyrtodactylus zebraicus
Ekspedisi temukan Tribes Spider, cicak Cyrtodactylus zebraicus
KANGAR: Sekumpulan saintis yang menyertai Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis merekodkan penemuan menarik iaitu labah-labah daripada spesies ‘tribes spider’ dan cicak ‘Cyrtodactylus zebraicus’ di hutan simpan negeri ini.
Ketua penyelidik ekspedisi berkenaan, Prof. Madya Amirrudin Ahmad, berkata, ekspedisi itu turut menemukan beberapa lagi hidupan hutan yang tidak pernah direkodkan penemuan sebelum ini.
Katanya, spesies labah-labah berwarna gelap yang ditemukan di hutan simpan tersebut dipercayai daripada kumpulan spesies ‘tribes spider’.
“Labah-labah ini dipercayai termasuk dalam kumpulan spesies baharu endemik yang hanya ada di kawasan hutan simpan Perlis dan kita dalam proses memberi nama kepadanya,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup ekspedisi berkenaan di sini semalam.
Seminar tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Mohd Ridza Awang yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Megat Hashirat Hassan dan Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Awang Shaffie Awang Ahmadni.
Tambah Amirrudin yang juga Pengarah Institut Bioversiti Tropika dan Pembangunan Lestari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), ekspedisi berkenaan dijalankan pada 17 hingga 20 Oktober tahun lepas.
Kata pakar Herpetofauna (amfibia dan reptilia) dan iktiofauna (ikan air tawar) itu, selain labah-labah, pasukan penyelidik turut menemukan spesies cicak ‘Cyrtodactylus zebraicus’ yang belum pernah direkodkan penemuannya di hutan semenanjung Malaysia.
“Buat masa ini, spesies cicak tersebut hanya terdapat di Perlis dan kita percaya ia berasal dari Thailand serta tidak pernah direkodkan penemuannya di lokasi lain di negara ini.
“Kita percaya spesies itu masuk ke negara ini melalui Banjaran Nakawan yang bersempadan dengan Thailand dan biasanya ia ditemukan di kawasan hutan separa daun luruh serta tanah pamah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Ridza berkata, JPSM setakat ini telah menganjurkan 42 siri ekspedisi saintifik di seluruh negara dan pencarian itu akan dibentangkan secara saintifik oleh pengkaji mengikut kepakaran masing-masing menerusi seminar.
Jelasnya, kepelbagaian biologi di hutan simpan negeri ini juga mempunyai daya tarikan tersendiri terutama kepada peminat flora dan fauna serta mampu menjadi satu daya tarikan dalam sektor eko-pelancongan.
“Peminat atau pemerhati burung contohnya, akan berkunjung ke sini (Perlis) untuk merasai sendiri pengalaman selepas mendapat tahu terdapat spesies burung yang jarang ditemukan dan diminati wujud di hutan simpan ini.
“Pihak jabatan sentiasa berusaha menganjurkan ekspedisi saintifik bertujuan melakukan dokumentasi kepelbagaian biologi yang terdapat dalam hutan di negara ini,” ujarnya.
-utusan online.
Demikianlah Artikel Ekspedisi temukan Tribes Spider, cicak Cyrtodactylus zebraicus
Anda sekarang membaca artikel Ekspedisi temukan Tribes Spider, cicak Cyrtodactylus zebraicus dengan alamat link https://malaysiadalammaklumat.blogspot.com/2023/08/ekspedisi-temukan-tribes-spider-cicak.html
0 Response to "Ekspedisi temukan Tribes Spider, cicak Cyrtodactylus zebraicus"
Catat Ulasan