KETUA Jurulatih Felda United, B Sathianathan mengakui pertemuan menentang Pahang di Jengka, Sabtu ini sebagai satu cabaran besar untuk The Fighters.

Ujarnya, kualiti serangan pasukan lawan pastinya menjadi mimpi ngeri untuk mana-mana pasukan memandangkan Pahang dibarisi pemain import berkaliber seperti Mohamadou Sumareh dan Matheus Alves.

Justeru itu, Sathianathan mengharapkan pemainnya bersedia mental dan fizikal untuk menahan asakan Tok Gajah dan pada masa sama dapat mencuri peluang berharga untuk memberikan mata kepada pasukan.

"Saya nak 10 pemain saya dapat jadi benteng pertahanan ketika kami hilang bola. Sebab itulah saya mementingkan aspek kecergasan kepada pemain dalam perlawanan ini.

"Kecergasan sangat penting kerana kami perlu fokus aspek serangan dan bertahan pada masa sama bagi mengelakkan daripada dibolosi.

"Pada masa sama juga saya mengharapkan tiga tonggak import baharu kami dapat memainkan peranan penting dalam perlawanan ini," katanya.

Dalam pada itu, Sathianathan turut mengakui berdepan jadual perlawanan yang padat selepas cuti raya ini sedikit sebanyak bakal memberi kesan kepada pasukannya.

Justeru, beliau akan kerap melakukan rombakan pada kesebelasan utama untuk memastikan pemain-pemain dalam pasukannya kekal cergas bagi menghadapi baki perlawanan musim ini.

Sumber : SINAR HARIAN