Zahasmi berkata, bagaimanapun beliau tetap akan memberikan peluang kepada seorang lagi penyerang import Alessandro Cellin untuk membuktikan kemampuan pada pertemuan menentang Pahang di Kuantan pada 6 Mei ini.
Menurutnya, sekiranya pemain kelahiran Argentina itu yang ketika ini sedang bergelut kecederaan, masih belum pulih, beliau terpaksa membawa perkara tersebut ke pengetahuan pengurusan untuk dibincangkan.
"Semua ini bergantung pada faktor kewangan persatuan dan persetujuan pasukan. Saya tidak boleh buat keputusan berhubung perkara tersebut.
"Pasukan rugi tidak boleh menggunakan semua pemain import secara serentak dalam satu perlawanan. Ada ketika kita hanya boleh menggunakan satu, dua atau tiga pemain import sahaja," katanya.
Penaja utama TRW Tan Sri Annuar Musa dikatakan mahu mencari gandingan baharu untuk Mohammed Ghaddar selepas Cellin dibelenggu kecederaan berpanjang ketika Kelantan bertemu Kedah pada 18 Febuari lalu.
Mengulas lanjut, Zahasmi mengakui berasa puas apabila barisan pemainnya berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat lawan sepanjang aksi pusingan pertama Liga Super.
Katanya, dia berharap rekod bersih itu akan terus dikekalkan sebagai sahaja pusingan kedua bermula pada 6 Mei ini termasuklah seri tanpa jaringan dengan Sarawak, di Kuching kelmarin.
"Aksi pertama 6 Mei ini kita akan bertemu Pahang, jadi perlu buat persiapan rapi,"ujarnya.
Kelantan menutup aksi pusingan pertama dengan menduduki tangga kelima dalam carta Liga Super dengan mengumpul 17 mata.